Tuesday, May 26, 2009

Surat Cinta - Suraya

Pagi itu Suraya dan anak sepupunya Anggrek, sedang bersenang-senang di beranda rumah Abang Sepupu Suraya. Semua kerja rumah, seperti mengemas, membasuh kain dan menyediakan sarapan sudah selesai.


Setelah selesai sarapan, mereka berdua siap berdandan ala-kadar, mandi dan mengenakan baju bersih duduk-duduk sambil melihat jiran-jiran pergi berkerja di Pejabat TNTC yang terletak berhampiran dengan jetty, termasuklah Abang Sepupu Suraya. Tiba-tiba lalu seorang pemuda tampan berkulit cerah, tinggi lampai memandang kearah mereka berdua sambil melimparkan senyuman paling manis. 'Wow, ada juga pula pemuda 'handsome' di Pulau ini, bisik hati Suraya'.


Mungkin sudah tersiar diseluruh pelusuk Pulau, ada dua gadis remaja tinggal dirumah Abang - seakan-akan semakin kerap pula pemuda-pemuda yang lalu didepan rumah setiap pagi. Keadaan begini berlalu beberapa ketika - sehinggalah suatu hari Anggrek menerima sepucuk surat.
Suraya melihat Anggrek senyum-senyum padanya. Dia kelihatannya begitu gembira, seolah-olah menyatakan padanya walau tanpa suara '.....lihat aku .... ada orang sukakan aku.....' Terbayang dimata Suraya Anggrek menari-nari sambil berpusing-pusing menayangkan surat yang dikirim oleh pemuda tampan, tinggi lampai berkulit cerah.... yang sering lalu didepan rumah setiap pagi itu...'. Suraya hanya diam membisu, pada pengamatannya ada semacam 'keangkuhan' dalam gerak geri Anggrek. Suraya terbayang lagak kakak-kakak dalam cerita dongeng 'Cinderella'. He he he.........
Tiba-tiba terpacul dipintu isteri Abang Sepupunya. Suraya berasa seperti isteri Abang Sepupunya itu mengerti perasaan Suraya. Selang beberapa hari, Suraya pula mendapat sepucuk surat dari seorang pemuda di Pulau itu. Pemuda yang ingin berkenalan dengannya itu, agak gempal dan berkulit gelap. Jika dibandingkan dengan Cowok Anggrek dia tidaklah setampannya. Suraya merasakan Anggrek mentertawakannya................Ah biarkanlah ..............

Sunday, May 3, 2009

SURAYA - 12: BELAJAR MENYULAM

Sehelai kain puteh berbentuk segi empat sedang terlekat di pemidangnya. Suraya sedang menjahitkan bunga-bunga kecil disalah satu sudut kain. Dia belajar menyulam dari isteri abang sepupunya. Suraya memilih warna merah tua dan merah jambu untuk bunga dan warna hijau muda untuk daun dan warna choklat untuk batang bunga. Nampaknya, Suraya seolah-olah dilatih menjadi seorang wanita - suri rumah sejati - menurut acuan saudara-saudaranya. Ah! inikah tujuan sebenar, mengapa bapanya menghantarnya kesini? Walaubagaimanapun bagi Suraya pelajaran paling berharga yang ia dapati ialah sikap 'sabar'.

Disini dia belajar erti 'kesabaran'. Apa tidaknya dia selalu dibanding-bandingkan dengan salah seorang saudaranya yang pandai menjahit, pandai menyulam, pandai memasak dan semua yang berkaitan yang konon-kononnya sinonim dengan 'perempuan' sejati.

Mereka tidak begitu mengambil berat tentang prestasi pembelajarannya di sekolah. Mereka lebih suka melihat Suraya belajar membuat kek, biskut dan kueh-mueh. Belajar memasak lauk-pauk dan yang sewaktu dengannya.




Thursday, April 30, 2009

SURAYA - 11: BERCUTI DI PULAU SEBATIK

Pulau Sebatik - disinilah Suraya menghabiskan cuti penggal sekolahnya. Mereka bertiga - abang sepupu dan anak buahnya sedang berjalan menuju ke panggung kepunyaan TNTC (Tawau Native Timber Co.). Panggung ialah sebuah bangunan yang seakan-akan bentuk gudang - mungkin juga dahulunya ia adalah gudang yang diubahsuai menjadi panggung.

Di Pulau inilah letaknya pejabat Syarikat Balak dan rumah-rumah pekerja syarikat balak tadi. Rumah-rumah kayu dibina sebiji-sebiji dan bertiang tingginya tiga anak tangga. Hampir keseluruhan penduduk di Pulau ini adalah pekerja dan keluarga pekerja Syarikat Balak tadi.

sEPANJANG cuti itu Suraya dan anak buahnya tinggal bersama abang sepupu Suraya yang bekerja di syarikat TNTC. Abang Sepupu Suraya ni lemah lembut orangnya sama seperti isterinya, yang cantik berkulit putih kuning. Ada yang mengatakan rupanya mirip Suraya. Ini tidaklah menghairankan kerana bapanya adalah abang kepada bapa Suraya. Semua urusan seperti membasuh kain baju, mengemas dan memasak dilakukan oleh Suraya bersama anak buahnya. INI disebabkan isteri Sepupu Suraya sedang hamil muda, dan sering sakit-sakit, seperti loya dan pening-pening.


Monday, April 20, 2009

SURAYA - 10: MENANGIS HIBA

Air matanya jatuh berderai. Panas hatinya mengingati telatah anak-anak kakak sepupunya petang tadi. Memang kejam, sombong dan tidak berperi kemanusiaan tindakan mereka. Suraya merasa terhina diperbuat begitu. Ini yang membuatkannya begitu rindu kepada emak, bapak dan adek-adeknya yang jauh dimata. Rasa tersisih bercampur geram. Suraya tidak dapat menahan air matanya yang semakin deras meluncur dipipi.

Dicela pokok-pokok bunga yang setiap pagi dan petang dirawatnya, dia melepaskan rasa marahnya bersendirian. Suraya tidak memperlihatkan kepada mereka yang dia terasa tersinggung terhadap kata-kata mereka terhadapnya. Dia mahu menjaga harga dirinya. Dia tidak akan tunduk atau lemah meskipun ditomah dan dicemuh begitu. 'Satu hari nanti, akan ku buktikan bahawa aku adalah lebih mulia, walau tiada harta tetapi bermaruah' bisik hatinya. Benarlah kata-kata, 'sesungguhnya tidaklah sama orang-orang yang berilmu itu dengan orang-orang yang tidak berilmu.'

Pokok-pokok bunga walau bisu, tetap menjadi teman yang setia. Berkembang mekar, berwarna warni menjadi penawar pada yang memandangnya.

Thursday, April 16, 2009

SURAYA - 9: TENGOK WAYANG (2)

Tiba di Panggung Empire, orang sudah ramai berdiri-diri santai ditepi panggung, sambil melihat-lihat poster yang terpampang di dinding panggung. Tidak kurang juga yang sedang membeli makanan yang dijual digerai-gerai ditepi panggung. Ada kacang tanah goreng, kacang tanah rebus, jeruk timun, jeruk kepayas, gula-gula, keropok, sotong bakar, sotong masak kicap , jagung rebus dan macam-macam lagi makanan ringan.

Mereka tidak membeli makanan atau minuman. Sudah menjadi kebiasaan keluarga ini tidak makan selain makanan yang disediakan dirumah mereka sendiri. Hero Filem Melayu yang mereka tonton malam itu ialah Aziz Jaafar dan Jins Shamsuddin, manakala heroinnya ialah Sarimah. Rata-rata penonton malam itu berpuas hati dengan tayangan malam itu.

Selesai sahaja tayangan, Suraya dengan keluarga sepupunya bergegas pulang kerumah dengan berjalan kaki juga. Sebaik tiba dihadapan kongsi PWD di Jalan Utara itu, Suraya dan anak-anak sepupunya berlari kerana kononnya berhampiran dengan 'pokok sabun' (pokok sawit) yang tumbuh ditepi jalan itu orang kononnya pernah nampak 'kepala' bergolek-golek. Nasib baiklah rumah mereka tidak lah jauh, maka dengan tercungap-cungap mereka tiba diperkarangan rumah disambut pula oleh bunyi bising dua ekor angsa peliharaan sepupunya. Takut disudu oleh angsa yang ganas itu, mereka dengan tergesa-gesa menaiki tangga rumah.



Friday, April 10, 2009

SURAYA - 8: TENGOK WAYANG

Suraya, senyum-senyum dengan girang sekali melaksanakan tugas rutin hariannya. Semua orang nampaknya sangat bersemangat. Anak-anak buahnya juga begitu tangkas menyiapkan tugasan mereka.

Mereka bertiga sedang menyental kain-kain cucian, memberus sambil menaruh sabun pada kain-kain yang sedang dicuci dengan mengosok-gosokkan sabun buku keatas kain yang dibentang di atas papan cucian. Begitulah setiap petang mereka akan mencuci kain-kain yang telah dipakai kemudian direndam dalam air bersih dan dibiarkan semalaman. Pada keesokkan paginya kain-kain akan dibilas dan dijemur di jemuran. Tetapi petang ini kerja-kerja ini disiapkan lebih awal daripada biasa kerana mereka hendak bersiap-siap hendak pergi menonton wayang gambar Melayu di panggung Empire. Abang sepupu Suraya, awal-awal lagi sudahpun membelikan tiket-tiket wayang untuk mereka sekeluarga termasuk Suraya. Begitulah, setiap kali ada tayangan Cerita Melayu di panggung, mereka tidak pernah ketinggalan untuk pergi menonton.

Suraya memerhatikan kakak sepupunya sedang membasahkan 'sponge' (alat khas untuk menyapu bedak dimuka berbentuk bulat, leper) dan menekapkan 'sponge' kepermukaan bedak padat (compact) lalu disapu kemukanya. Dia mengenakan pantis dikening dan celak pada matanya. Akhir sekali mengenakan gincu bibir.

Kain batik lepas berbunga-bunga dililit ditubuhnya dari paras pinggang hingga ke buku lali lalu dihadapan dilipat seakan-akan bentuk kipas. Dia mengenakan 'korset' dan baju kebaya pendek dibuat daripada kain kasa jarang. Rambut dibubuh minyak dan di tochang dua, kemudian disimpul menjadi dua bentuk sanggul yang terletak ditepi telinga. Anting-anting yang berjuntai tergantung dikedua belah telinga. Tidak ketinggalan gelang, cincin dan rantai emas juga menjadi sebahagian daripada perhiasannya. Dia mencapai beg tangan tidak bertali dan dikepit dibawah ketiak dan mengenakan sepatu tumit tinggi.

Suraya dan anak-anak buahnya pula memakai 'gaun' pendek paras lutut. Salah seorang anak buahnya yang berambut panjang hingga paras pinggul mengikat saja rambutnya seperti ekor kuda. Suraya dan yang seorang lagi membiarkan saja rambut mereka lepas kerana kedua-dua mereka mempunyai rambut dipotong pendek paras bahu.

Kesemua mereka telahpun siap dan masing-masing pun menuruni tangga menuju ke jalan raya dihadapan rumah. Mereka berjalan kaki beriringan menuju ke bandar. Begitu ramai orang yang berjalan kaki menuju ke bandar malam ini. Semuanya berpakaian cantek-cantek dan kemas, yang tua, muda dan kanak-kanak turut serta seperti pesta layaknya. Rumah tempat Suraya menetap tidaklah begitu jauh daripada bandar, tidak pun sampai satu batu. Setelah berjalan selama kira 20 minit mereka sekeluargapun sampai diperkarangan panggung Empire.


Tuesday, April 7, 2009

SURAYA - 7: BEKALAN AIR PAIP

Hari ini semua orang teruja dan gembira. Apa tidaknya, bekalan air paip telahpun disambung ke rumah. Suraya dan semua orang dalam rumah ini tidak lagi perlu mandi di perigi. Semenjak terdirinya tangki air yang besar di atas bukit berhampiran Sekolah Menengah Holy Trinity, itu semua rumah disekitar bandar Tawau telah mendapat bekalan air paip.

Air paip yang baru itu begitu sejuk dan jernih sekali. Sambil menyiram badannya dengan air paip yang begitu jernih dan sejuk itu Suraya minum sedikit air yang mengalir dari getah paip. AAAaaaah nyaman rasanya. Seeeedaaaaap.

Akhir-akhir ini bertambah lagi tugas Suraya. Selain menyiram pokok-pokok bunga disekeliling rumah setiap pagi dan petang, Suraya bertanggungjawab pula menyediakan makanan itik-itik peliharaan sepupunya. Sisa-sisa makanan akan dikumpul dalam satu bekas, kemudian Suraya memetik pokok-pokok keladi yang tumbuh ditepi parit dibelakang rumah. Pokok-pokok keladi tersebut dicencang-cencang, kemudian direbus dalam periuk. Setelah lembut dan masak batang keladi tadi dicampur dengan sisa-sisa makanan dan disajikan dalam bisin di dalam kandang itik-itik untuk makanan itik-itik tadi.

Terdapat lebih kurang 15 ekor itik semuanya termasuklah dua ekor angsa. Setiap pagi, itik-itik akan dilepaskan daripada kandangnya, maka berkeliaranlah itik-itik disekeliling rumah. Itik-itik tadi akan menyudu di pelacahan di bawah kolong dan juga di parit dan tempat-tempat dimana terdapat air bertakung dan licak.


Monday, April 6, 2009

SURAYA - 6 : CEMBURU


Pada Ujian Penggal Pertama, Suraya telah gagal. Tetapi ini tidak menghairankan kerana dia baru sebulan mengikuti kelas. Walau bagaimanapun hasil kegigihannya Suraya telah berjaya lulus dengan cemerlang pada Ujian Penggal Kedua, malahan telah mendapat catatan oleh guru kelas dalam Kad Laporan sebagai “Very clever and very talkative ” Ini sangat mengembirakannya, tetapi ini telah pula menimbulkan rasa cemburu anak-anak sepupunya. Mereka enggan membantunya.


Suatu petang Suraya telah diminta menanak nasi. Seperti yang diminta diapun menjerang periuk nasi. Pada masa dahulu kerja masak memasak ini menggunakan kayu api. Oleh kerana telah ditugaskan kepadanya untuk menyiram pokok-pokok bunga dikeliling rumah, maka dia meminta salah seorang anak buahnya untuk tolong melihat-lihatkan nasi yang sedang dimasak semasa dia menyiram pokok-pokok bunga dihalaman rumah.


Sepupunya pula menjawab dengan anggkuhnya ‘kau yang masak kaulah yang tengok” sambil menjeling dan memalingkan mukanya. Suraya berdiam diri. Tanpa memberikan sebarang jawapan, dia terus menjalankan tugas menyiram pokok-pokok bunga dan sekali-sekala menjenguk nasi yang terjarang di atas api. Terasa sayu dan sedih hatinya bila teringat bagaimana anak-anak sepupunya mengejek-ejeknya kerana dia budak kampung yang pada pandangan mereka bodoh.


Mereka mengejeknya kerana tidak pandai menstereka baju, atau melipat baju dengan kemas. Memang Suraya tidak pandai membuat kerja-kerja ini memandangkan semua kerja-kerja ini dilakukan oleh emaknya. Suraya hanya tahu menolong emaknya menjaga adek-adek atau bermain-main dan berjalan-jalan dengan kawan-kawan sekolahnya dahulu. Tetapi pada fikirannya itu tidak penting asalkan dia lebih cemerlang dalam pelajaran. Segala ejekan yang walaupun menyakitkan hati diterimanya dengan sabar. Tekadnya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tetap utuh dibenaknya.


Pada waktu itu tidak ada Asrama, yang ada hanyalah Asrama untuk murid-murid Kristian yangmana mereka dibenarkan tinggal bersama-sama birawati yang ada di Sekolah. Maka mahu tidak mahu dia terpaksa terus tinggal bersama ibu saudara dan anak-anak buahnya itu.

Sunday, April 5, 2009

SURAYA-5

Pada kebiasanya setelah siap makan tengahhari Suraya dan dua orang anak buahnya itu akan mentelaah buku sekolah bersama-sama diiruangtamu rumah dimana tersedia sebuah meja besar dengan lapan buah kerusi.

Disinilah soalan-soalan dalam Bahasa Inggeris diajukan oleh sepupu-sepupunya kepada Suraya bagi menguji kefasihan dan pengetahuannya berbanding mereka memandangkan Suraya dalam tahun V sedangkan mereka dalam tahun IV. Mereka bertanyakan nama-nama bahagian bunga seperti daun, kelopak, kuntum, debunga dan sebagainya. Suraya memang tahu nama-nama bahagian bunga itu kerana telahpun mempelajarinya di Sekolah Melayu dulu hanya dia tidak mengetahui istilahnya dalam Bahasa Inggeris, maka sudah tentulah Suraya tidak dapat menjawabnya.

Ini telah menambahkan keyakinan mereka bahawa Suraya sepatutnya tidak dimasukkan kedalam Darjah V. Mereka mengejek-ejeknya dan memandang rendah akan kebolehan Suraya kerana walaupun belajar dalam Darjah V , tetapi tidak dapat menjawab soalan-soalan matapelajaran Darjah IV. Peristiwa ini telah membakar semangat Suraya untuk membuktikan bahawa dia sepatutnya dan berhak belajar dalam Darjah V memandangkan dia telahpun tamat Darjah VI dengan cemerlang semasa Sekolah Melayu dahulu. Namun begitu Suraya, tetap saja mendiamkan diri tanpa membalas akan ejekkan mereka wlaupun hatinya terguris luka. Dia sedar akan dirinya yang hanya menumpang dirumah mereka.

Apabila matahari sudah mula redup, mereka bertiga pun mengemaskan buku-buku masing-masing. Selesai mengemas buku-buku, mereka masing-masingpun membuat kerja-kerja rutin mereka masing-masing. Seorang menyapu dan mengemas rumah, seorang lagi mengangkat kain daripada jemuran lalu dilipat dan disimpan dalam almari. Suraya pula ditugaskan menanak nasi dan menyiram pokok-pokok bunga yang ditanam disekeliling rumah. Begitulah rutin mereka seharian.

SURAYA-4

Suraya diiringi oleh anak bongsu Makciknya sedang menuju ke Sekolah Inggeris dimana Suraya telah memohon untuk belajar disana. Sebaik mendapat izin masuk, Suraya bersama abang sepupunya pun masuk ke bilek Pengetua Sekolah, lalu duduk ditempat yang telah disarankan oleh Pengetua itu seorang Padri berbangsa Irish.

Padri: Apa nama?
Suraya: My name is Suraya
Padri: Dulu sekolah mana?
Suraya: Government Primary School Semporna
Padri: Lulus darjah berapa?
Suraya: Primary Six

Walaupun Padri itu berbahasa Melayu, namun Suraya terus menggunakan Bahasa Inggeris untuk meyakinkan Padri itu bahawa Suraya layak diterima bersekolah disekolahnya.

Akhirnya Padri itu berkata, ..."you can start school tomorrow. We'll place you in Primary Five."
Alangkah gembiranya hati Suraya kerana diterima dan terus pula belajar dalam Darjah V, sedangkah murid-murid lain yang lulus Darjah VI Sekolah Melayu, akan ditempatkan dalam kelas peralihan iaitu dalam Darjah IV.

Friday, April 3, 2009

SURAYA-3

Bandar Tawau telah mula kelihatan, samar-samar dari kejauhan, sedikit demi sedikit semakin mendekat dan menjelas kelihatan. 'Siren' kapal dibunyikan tanda kapal akan merapat ke dermaga. Di dermaga kelihatan orang-orang sibuk - berkeliaran. Tali kapal dilontarkan kepada beberapa orang yang sudah sedia untuk menyambut dan melilitkan tali kapal ke tempat melilit yang telah dibina khas di atas pelantar. Orang ramai - yang pastinya saudara mara para penumpang kapal juga berdiri-diri menantikan kapal rapat ke dermaga. Sebaik saja kapal rapat dan tangga telah tersedia, para penumpang mulai menuruni tangga sambil membimbit beg-beg masing-masing. Ada juga saudara-mara penumpang yang naik ke kapal menemui saudara mereka yang masih lagi berada di dalam kapal.

Anak Makcik Suraya telah sedia menunggu mereka dan membawa mereka pulang kerumah mereka yang tidak begitu jauh dari Pelabuhan. Rumah Makcik Suraya ialah sebuah rumah kayu dan mempunyai tiang-tiang beratap 'zinc' berlantai dan dindingkan yang diperbuat daripada kayu.

Dirumah ini selain Makcik Suraya juga tinggal bersama-sama anak lelaki bongsonya yang menjemput mereka tadi dari dermaga dan seorang anak perempuan yang telahpun bersuami dan mempunyai 5 orang anak. Malam itu Suraya tidur diruang tamu bersama-sama dengan dua orang anak buahnya yang sebaya dengannya. Mereka ini sedang bersekolah di Sekolah Inggeris dalam Darjah IV yangmana Suraya akan juga memohon untuk bersekolah nanti. Sekolah ini adalah sekolah yang dikelola oleh Missionary Katolik dan tidak begitu jauh iaitu kira-kira dua batu daripada rumah tempat Suraya tinggal.

Pagi-pagi lagi semua orang dalam rumah ini bangun dan melaksanakan tugas masing yang seakan-akan sudah diatur. Ada yang menyapu dan mengemas rumah. Yang lelaki mengangkat air daripada perigi setelah selesai mandi pagi. Makcik Suraya pula sebok menyediakan sarapan pagi. Seorang lagi anak saudara Suraya membasuh kain manakala Suraya pula ditugaskan menyiram bunga. Setelah selesai semua tugas-tugas masing-masing, Suraya dan kedua-dua anak saudaranya mandi di perigi dan bersiap-siap untuk pergi ke-sekolah.







Wednesday, April 1, 2009

SURAYA - 2

'Siren' kapal telah dibunyikan tiga kali. Kapal telah mula bergerak meninggalkan 'Semporna'. Air laut berombak-ombak akibat geseran kapal yang sedang lalu. Penumpang-penumpang pula duduk-duduk di atas dek secara berkumpulan mengikut keluarga masing-masing. Ada juga yang berdiri-diri ditepi 'railings' kapal sambil menikmati pemandangan laut yang terbentang luas. Suraya bersama Makciknya telah menyewa sebuah bilik kelasi kapal yang mempunyai sebuah katil dua tingkat. Mereka berdua berehat sambil 'limpang-limpang' di atas katil.

Tidak lama kemudian, '
ransum' telah mula disajikan. Penumpang-penumpang telah mula berbaris panjang, untuk mendapatkan makanan tengahari yang disediakan oleh pihak pengurusan kapal. Makanan ini disediakan bagi penumpang-penumpang yang bukan terdiri dari penumpang Kelas Satu, dan Dua. Bagi penumpang yang membeli tiket Kelas Satu atau Dua akan disediakan makanan di Dewan Makan. Suraya dan Makciknya tidak turut serta berbaris untuk mendapatkan 'ransum' kerana sebelum menaiki kapal tadi, mereka berdua telahpun makan dirumah.

Setelah selesai makan, penumpang-penumpang duduk-duduk santai di atas dek dan ada juga yang
mengorak tikar dan limpang-limpang, sementara menunggu kapal sampai ke destinasi yang dituju. Tiba-tiba kedengeran suara riuh rendah dari tepi kapal. Rupa-rupanya, kanak-kanak 'Pelauh' sedang bermain-main, berdirian didalam sampan sambil dilambung-lambung ombak yang terhasil oleh kapal yang sedang lalu. Mereka begitu serasi dengan laut. Ada yang begitu kecil, bertelanjangan sekejap-sekejap terjun kelaut cuba mengutip duit syiling yang dilontarkan oleh penumpang-penumpang kapal kepada mereka. Ada juga penumpang melontarkan makanan yang dibungkus dalam plastik. Siuk meninguk anak-anak Pelauh ini yang pada mereka laut itu samalah seperti padang permainan.


Tuesday, March 31, 2009

SURAYA

Suraya sedang mengemas bajunya kedalam sebuah beg kecil. Gadis kecil baru mencecah 13 tahun itu akan pergi meninggalkan keluarga, emak, bapa dan adek-adek kerana akan mengikuti emak saudaranya. Dia akan tinggal bersama dengan emak saudaranya iaitu kakak kepada bapanya.


Gaun pendek paras lutut berwarna merah jambu membaluti tubuhnya yang agak kurus itu berkibar-kibar ditiup angin. Sambil berdiri tenang dijetty menunggu untuk menaiki perahu yang akan membawanya dan makciknya ke kapal yang sedang berlabuh ditengah laut dia merenung lautan yang terbentang luas membiru. Rambutnya yang sedikit ikal dan panjang paras bahu sedikit melindungi dahi itu sekejap-sekejap dilibasnya agar tidak masuk kemata. Air mata tidak tumpah walaupun itulah kali pertama dia meninggalkan keluarganya. Namun rasa sebak dipendamnya didalam dada.


Dia telah bertekad didalam hatinya untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Inggeris. Pesanan bapanya agar semasa temuduga nanti, terus saja menggunakan Bahasa Inggeris, agar dapat diterima di Sekolah Menengah yang dikelolakan oleh Missionary Kristian itu terus terpahat dihatinya. Pada masa itu tiada Sekolah Menangah Melayu. Orang Bumiputera Islam pun tidak ramai belajar di Sekolah Menegah ini disebabkan masih ramai yang berpendapat, kalau masuk Sekolah Inggeris ini samalah seperti masuk agama Christian.


Sebuah perahu kecil telah menghampiri jetty dimana Suraya dan makciknya sedang menanti. Sambil menuruni tangga jetty untuk masuk kedalam perahu tadi Suraya melihat ikan-ikan berenang-reneng ditepi perahu. Air laut sangat jernih sehinggakan dasar laut pun dapat dilihat dengan jelas sekali. Sememangnya laut Semporna ini begitu kaya dengan khazanah laut. Kapal yang berlabuh ditengah-tengah laut semakin dihampiri. Makcik Suraya menaiki tangga ditepi kapal diikuti oleh Suraya sambil menggalas beg kecil di bahunya Suraya menaiki tangga ditepi kapal dengan berhati-hati sekali. Di atas dek kapal sudah ramai penumpang. Sebentar saja lagi 'siren' kapal akan dibunyikan tanda kapal akan memulakan perjalanan ke destinasi yang dituju........