Friday, April 10, 2009

SURAYA - 8: TENGOK WAYANG

Suraya, senyum-senyum dengan girang sekali melaksanakan tugas rutin hariannya. Semua orang nampaknya sangat bersemangat. Anak-anak buahnya juga begitu tangkas menyiapkan tugasan mereka.

Mereka bertiga sedang menyental kain-kain cucian, memberus sambil menaruh sabun pada kain-kain yang sedang dicuci dengan mengosok-gosokkan sabun buku keatas kain yang dibentang di atas papan cucian. Begitulah setiap petang mereka akan mencuci kain-kain yang telah dipakai kemudian direndam dalam air bersih dan dibiarkan semalaman. Pada keesokkan paginya kain-kain akan dibilas dan dijemur di jemuran. Tetapi petang ini kerja-kerja ini disiapkan lebih awal daripada biasa kerana mereka hendak bersiap-siap hendak pergi menonton wayang gambar Melayu di panggung Empire. Abang sepupu Suraya, awal-awal lagi sudahpun membelikan tiket-tiket wayang untuk mereka sekeluarga termasuk Suraya. Begitulah, setiap kali ada tayangan Cerita Melayu di panggung, mereka tidak pernah ketinggalan untuk pergi menonton.

Suraya memerhatikan kakak sepupunya sedang membasahkan 'sponge' (alat khas untuk menyapu bedak dimuka berbentuk bulat, leper) dan menekapkan 'sponge' kepermukaan bedak padat (compact) lalu disapu kemukanya. Dia mengenakan pantis dikening dan celak pada matanya. Akhir sekali mengenakan gincu bibir.

Kain batik lepas berbunga-bunga dililit ditubuhnya dari paras pinggang hingga ke buku lali lalu dihadapan dilipat seakan-akan bentuk kipas. Dia mengenakan 'korset' dan baju kebaya pendek dibuat daripada kain kasa jarang. Rambut dibubuh minyak dan di tochang dua, kemudian disimpul menjadi dua bentuk sanggul yang terletak ditepi telinga. Anting-anting yang berjuntai tergantung dikedua belah telinga. Tidak ketinggalan gelang, cincin dan rantai emas juga menjadi sebahagian daripada perhiasannya. Dia mencapai beg tangan tidak bertali dan dikepit dibawah ketiak dan mengenakan sepatu tumit tinggi.

Suraya dan anak-anak buahnya pula memakai 'gaun' pendek paras lutut. Salah seorang anak buahnya yang berambut panjang hingga paras pinggul mengikat saja rambutnya seperti ekor kuda. Suraya dan yang seorang lagi membiarkan saja rambut mereka lepas kerana kedua-dua mereka mempunyai rambut dipotong pendek paras bahu.

Kesemua mereka telahpun siap dan masing-masing pun menuruni tangga menuju ke jalan raya dihadapan rumah. Mereka berjalan kaki beriringan menuju ke bandar. Begitu ramai orang yang berjalan kaki menuju ke bandar malam ini. Semuanya berpakaian cantek-cantek dan kemas, yang tua, muda dan kanak-kanak turut serta seperti pesta layaknya. Rumah tempat Suraya menetap tidaklah begitu jauh daripada bandar, tidak pun sampai satu batu. Setelah berjalan selama kira 20 minit mereka sekeluargapun sampai diperkarangan panggung Empire.


No comments:

Post a Comment