Tuesday, May 26, 2009

Surat Cinta - Suraya

Pagi itu Suraya dan anak sepupunya Anggrek, sedang bersenang-senang di beranda rumah Abang Sepupu Suraya. Semua kerja rumah, seperti mengemas, membasuh kain dan menyediakan sarapan sudah selesai.


Setelah selesai sarapan, mereka berdua siap berdandan ala-kadar, mandi dan mengenakan baju bersih duduk-duduk sambil melihat jiran-jiran pergi berkerja di Pejabat TNTC yang terletak berhampiran dengan jetty, termasuklah Abang Sepupu Suraya. Tiba-tiba lalu seorang pemuda tampan berkulit cerah, tinggi lampai memandang kearah mereka berdua sambil melimparkan senyuman paling manis. 'Wow, ada juga pula pemuda 'handsome' di Pulau ini, bisik hati Suraya'.


Mungkin sudah tersiar diseluruh pelusuk Pulau, ada dua gadis remaja tinggal dirumah Abang - seakan-akan semakin kerap pula pemuda-pemuda yang lalu didepan rumah setiap pagi. Keadaan begini berlalu beberapa ketika - sehinggalah suatu hari Anggrek menerima sepucuk surat.
Suraya melihat Anggrek senyum-senyum padanya. Dia kelihatannya begitu gembira, seolah-olah menyatakan padanya walau tanpa suara '.....lihat aku .... ada orang sukakan aku.....' Terbayang dimata Suraya Anggrek menari-nari sambil berpusing-pusing menayangkan surat yang dikirim oleh pemuda tampan, tinggi lampai berkulit cerah.... yang sering lalu didepan rumah setiap pagi itu...'. Suraya hanya diam membisu, pada pengamatannya ada semacam 'keangkuhan' dalam gerak geri Anggrek. Suraya terbayang lagak kakak-kakak dalam cerita dongeng 'Cinderella'. He he he.........
Tiba-tiba terpacul dipintu isteri Abang Sepupunya. Suraya berasa seperti isteri Abang Sepupunya itu mengerti perasaan Suraya. Selang beberapa hari, Suraya pula mendapat sepucuk surat dari seorang pemuda di Pulau itu. Pemuda yang ingin berkenalan dengannya itu, agak gempal dan berkulit gelap. Jika dibandingkan dengan Cowok Anggrek dia tidaklah setampannya. Suraya merasakan Anggrek mentertawakannya................Ah biarkanlah ..............

Sunday, May 3, 2009

SURAYA - 12: BELAJAR MENYULAM

Sehelai kain puteh berbentuk segi empat sedang terlekat di pemidangnya. Suraya sedang menjahitkan bunga-bunga kecil disalah satu sudut kain. Dia belajar menyulam dari isteri abang sepupunya. Suraya memilih warna merah tua dan merah jambu untuk bunga dan warna hijau muda untuk daun dan warna choklat untuk batang bunga. Nampaknya, Suraya seolah-olah dilatih menjadi seorang wanita - suri rumah sejati - menurut acuan saudara-saudaranya. Ah! inikah tujuan sebenar, mengapa bapanya menghantarnya kesini? Walaubagaimanapun bagi Suraya pelajaran paling berharga yang ia dapati ialah sikap 'sabar'.

Disini dia belajar erti 'kesabaran'. Apa tidaknya dia selalu dibanding-bandingkan dengan salah seorang saudaranya yang pandai menjahit, pandai menyulam, pandai memasak dan semua yang berkaitan yang konon-kononnya sinonim dengan 'perempuan' sejati.

Mereka tidak begitu mengambil berat tentang prestasi pembelajarannya di sekolah. Mereka lebih suka melihat Suraya belajar membuat kek, biskut dan kueh-mueh. Belajar memasak lauk-pauk dan yang sewaktu dengannya.




Thursday, April 30, 2009

SURAYA - 11: BERCUTI DI PULAU SEBATIK

Pulau Sebatik - disinilah Suraya menghabiskan cuti penggal sekolahnya. Mereka bertiga - abang sepupu dan anak buahnya sedang berjalan menuju ke panggung kepunyaan TNTC (Tawau Native Timber Co.). Panggung ialah sebuah bangunan yang seakan-akan bentuk gudang - mungkin juga dahulunya ia adalah gudang yang diubahsuai menjadi panggung.

Di Pulau inilah letaknya pejabat Syarikat Balak dan rumah-rumah pekerja syarikat balak tadi. Rumah-rumah kayu dibina sebiji-sebiji dan bertiang tingginya tiga anak tangga. Hampir keseluruhan penduduk di Pulau ini adalah pekerja dan keluarga pekerja Syarikat Balak tadi.

sEPANJANG cuti itu Suraya dan anak buahnya tinggal bersama abang sepupu Suraya yang bekerja di syarikat TNTC. Abang Sepupu Suraya ni lemah lembut orangnya sama seperti isterinya, yang cantik berkulit putih kuning. Ada yang mengatakan rupanya mirip Suraya. Ini tidaklah menghairankan kerana bapanya adalah abang kepada bapa Suraya. Semua urusan seperti membasuh kain baju, mengemas dan memasak dilakukan oleh Suraya bersama anak buahnya. INI disebabkan isteri Sepupu Suraya sedang hamil muda, dan sering sakit-sakit, seperti loya dan pening-pening.


Monday, April 20, 2009

SURAYA - 10: MENANGIS HIBA

Air matanya jatuh berderai. Panas hatinya mengingati telatah anak-anak kakak sepupunya petang tadi. Memang kejam, sombong dan tidak berperi kemanusiaan tindakan mereka. Suraya merasa terhina diperbuat begitu. Ini yang membuatkannya begitu rindu kepada emak, bapak dan adek-adeknya yang jauh dimata. Rasa tersisih bercampur geram. Suraya tidak dapat menahan air matanya yang semakin deras meluncur dipipi.

Dicela pokok-pokok bunga yang setiap pagi dan petang dirawatnya, dia melepaskan rasa marahnya bersendirian. Suraya tidak memperlihatkan kepada mereka yang dia terasa tersinggung terhadap kata-kata mereka terhadapnya. Dia mahu menjaga harga dirinya. Dia tidak akan tunduk atau lemah meskipun ditomah dan dicemuh begitu. 'Satu hari nanti, akan ku buktikan bahawa aku adalah lebih mulia, walau tiada harta tetapi bermaruah' bisik hatinya. Benarlah kata-kata, 'sesungguhnya tidaklah sama orang-orang yang berilmu itu dengan orang-orang yang tidak berilmu.'

Pokok-pokok bunga walau bisu, tetap menjadi teman yang setia. Berkembang mekar, berwarna warni menjadi penawar pada yang memandangnya.

Thursday, April 16, 2009

SURAYA - 9: TENGOK WAYANG (2)

Tiba di Panggung Empire, orang sudah ramai berdiri-diri santai ditepi panggung, sambil melihat-lihat poster yang terpampang di dinding panggung. Tidak kurang juga yang sedang membeli makanan yang dijual digerai-gerai ditepi panggung. Ada kacang tanah goreng, kacang tanah rebus, jeruk timun, jeruk kepayas, gula-gula, keropok, sotong bakar, sotong masak kicap , jagung rebus dan macam-macam lagi makanan ringan.

Mereka tidak membeli makanan atau minuman. Sudah menjadi kebiasaan keluarga ini tidak makan selain makanan yang disediakan dirumah mereka sendiri. Hero Filem Melayu yang mereka tonton malam itu ialah Aziz Jaafar dan Jins Shamsuddin, manakala heroinnya ialah Sarimah. Rata-rata penonton malam itu berpuas hati dengan tayangan malam itu.

Selesai sahaja tayangan, Suraya dengan keluarga sepupunya bergegas pulang kerumah dengan berjalan kaki juga. Sebaik tiba dihadapan kongsi PWD di Jalan Utara itu, Suraya dan anak-anak sepupunya berlari kerana kononnya berhampiran dengan 'pokok sabun' (pokok sawit) yang tumbuh ditepi jalan itu orang kononnya pernah nampak 'kepala' bergolek-golek. Nasib baiklah rumah mereka tidak lah jauh, maka dengan tercungap-cungap mereka tiba diperkarangan rumah disambut pula oleh bunyi bising dua ekor angsa peliharaan sepupunya. Takut disudu oleh angsa yang ganas itu, mereka dengan tergesa-gesa menaiki tangga rumah.



Friday, April 10, 2009

SURAYA - 8: TENGOK WAYANG

Suraya, senyum-senyum dengan girang sekali melaksanakan tugas rutin hariannya. Semua orang nampaknya sangat bersemangat. Anak-anak buahnya juga begitu tangkas menyiapkan tugasan mereka.

Mereka bertiga sedang menyental kain-kain cucian, memberus sambil menaruh sabun pada kain-kain yang sedang dicuci dengan mengosok-gosokkan sabun buku keatas kain yang dibentang di atas papan cucian. Begitulah setiap petang mereka akan mencuci kain-kain yang telah dipakai kemudian direndam dalam air bersih dan dibiarkan semalaman. Pada keesokkan paginya kain-kain akan dibilas dan dijemur di jemuran. Tetapi petang ini kerja-kerja ini disiapkan lebih awal daripada biasa kerana mereka hendak bersiap-siap hendak pergi menonton wayang gambar Melayu di panggung Empire. Abang sepupu Suraya, awal-awal lagi sudahpun membelikan tiket-tiket wayang untuk mereka sekeluarga termasuk Suraya. Begitulah, setiap kali ada tayangan Cerita Melayu di panggung, mereka tidak pernah ketinggalan untuk pergi menonton.

Suraya memerhatikan kakak sepupunya sedang membasahkan 'sponge' (alat khas untuk menyapu bedak dimuka berbentuk bulat, leper) dan menekapkan 'sponge' kepermukaan bedak padat (compact) lalu disapu kemukanya. Dia mengenakan pantis dikening dan celak pada matanya. Akhir sekali mengenakan gincu bibir.

Kain batik lepas berbunga-bunga dililit ditubuhnya dari paras pinggang hingga ke buku lali lalu dihadapan dilipat seakan-akan bentuk kipas. Dia mengenakan 'korset' dan baju kebaya pendek dibuat daripada kain kasa jarang. Rambut dibubuh minyak dan di tochang dua, kemudian disimpul menjadi dua bentuk sanggul yang terletak ditepi telinga. Anting-anting yang berjuntai tergantung dikedua belah telinga. Tidak ketinggalan gelang, cincin dan rantai emas juga menjadi sebahagian daripada perhiasannya. Dia mencapai beg tangan tidak bertali dan dikepit dibawah ketiak dan mengenakan sepatu tumit tinggi.

Suraya dan anak-anak buahnya pula memakai 'gaun' pendek paras lutut. Salah seorang anak buahnya yang berambut panjang hingga paras pinggul mengikat saja rambutnya seperti ekor kuda. Suraya dan yang seorang lagi membiarkan saja rambut mereka lepas kerana kedua-dua mereka mempunyai rambut dipotong pendek paras bahu.

Kesemua mereka telahpun siap dan masing-masing pun menuruni tangga menuju ke jalan raya dihadapan rumah. Mereka berjalan kaki beriringan menuju ke bandar. Begitu ramai orang yang berjalan kaki menuju ke bandar malam ini. Semuanya berpakaian cantek-cantek dan kemas, yang tua, muda dan kanak-kanak turut serta seperti pesta layaknya. Rumah tempat Suraya menetap tidaklah begitu jauh daripada bandar, tidak pun sampai satu batu. Setelah berjalan selama kira 20 minit mereka sekeluargapun sampai diperkarangan panggung Empire.


Tuesday, April 7, 2009

SURAYA - 7: BEKALAN AIR PAIP

Hari ini semua orang teruja dan gembira. Apa tidaknya, bekalan air paip telahpun disambung ke rumah. Suraya dan semua orang dalam rumah ini tidak lagi perlu mandi di perigi. Semenjak terdirinya tangki air yang besar di atas bukit berhampiran Sekolah Menengah Holy Trinity, itu semua rumah disekitar bandar Tawau telah mendapat bekalan air paip.

Air paip yang baru itu begitu sejuk dan jernih sekali. Sambil menyiram badannya dengan air paip yang begitu jernih dan sejuk itu Suraya minum sedikit air yang mengalir dari getah paip. AAAaaaah nyaman rasanya. Seeeedaaaaap.

Akhir-akhir ini bertambah lagi tugas Suraya. Selain menyiram pokok-pokok bunga disekeliling rumah setiap pagi dan petang, Suraya bertanggungjawab pula menyediakan makanan itik-itik peliharaan sepupunya. Sisa-sisa makanan akan dikumpul dalam satu bekas, kemudian Suraya memetik pokok-pokok keladi yang tumbuh ditepi parit dibelakang rumah. Pokok-pokok keladi tersebut dicencang-cencang, kemudian direbus dalam periuk. Setelah lembut dan masak batang keladi tadi dicampur dengan sisa-sisa makanan dan disajikan dalam bisin di dalam kandang itik-itik untuk makanan itik-itik tadi.

Terdapat lebih kurang 15 ekor itik semuanya termasuklah dua ekor angsa. Setiap pagi, itik-itik akan dilepaskan daripada kandangnya, maka berkeliaranlah itik-itik disekeliling rumah. Itik-itik tadi akan menyudu di pelacahan di bawah kolong dan juga di parit dan tempat-tempat dimana terdapat air bertakung dan licak.